Jual tambah nilai judi dalam talian di gerai sayur dan ikan

Siasatan dilakukan di lokasi kejadian.

BAU, 28 Jun: Sebuah gerai menjual sayur dan ikan di Gerai Tani Jagoi Jalan Bau-Serikin rupanya turut menjual tambah nilai judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata kegiatan tersebut terbongkar selepas anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah membuat pemeriksaan sekitar jam 3.30 petang semalam.

Katanya, seorang wanita disyaki ejen judi tersebut ditangkap bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya.

Kedua-dua suspek berusia 22 dan 26 tahun itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4A(a) dan 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Turut dirampas ialah dua unit telefon bimbit, kad sim dan sejumlah wang tunai.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan. — DayakDaily