KPDNHEP serbu premis jual alat peranti teknologi penstriman di Petaling Jaya

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP menyerbu sebuah premis yang disyaki terlibat dengan pelanggaran hak cipta.

KUCHING, 28 Jun: Tiga premis berasingan yang terletak di dalam sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, Selangor yang disyaki terlibat dengan pelanggaran hak cipta dengan
menjual alat teknologi penstriman diserbu pada 22 Jun lepas.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, serbuan dilakukan hasil daripada maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal yang telah dilakukan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas 3 premis terbabit, pihak KPDNHEP telah merampas sebanyak 17 unit alat teknologi penstriman.


“Ia berserta dokumen yang berkaitan yang disyaki mengandungi karya hak cipta yang diadukan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM6,800,” katanya dalan kenyataan hari ini.

Tambah Azman, pasukan serbuan juga telah bertindak menahan 2 individu lelaki, seorang daripadanya adalah warganegara tempatan manakala seorang lagi adalah bukan warganegara.

Kedua-duanya berumur lingkungan 30-an ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.

Sabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10 000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya. ā€” DayakDaily