Dua maut dalam kemalangan di Jalan Sibu-Bintulu

Anggota Bomba berusaha mengeluarkan mangsa.

BINTULU, 28 Jun: Dua lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan jenis pacuan empat roda di Jalan Sibu-Bintulu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.25 petang semalam

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Dua mangsa lelaki tersepit di tempat duduk hadapan telah dikeluarkan oleh pihak bomba dengan menggunakan peralatan khas ‘rescue tool’.

“Seorang lagi mangsa lelaki di dalam sebuah lagi kenderaan dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akibat kemalangan tersebut, mangsa yang selamat dibawa ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Manakala mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.02 petang. — DayakDaily