JTK Sarawak: 222 majikan dikesan gagal mematuhi perintah gaji minimum pada tahun 2019

Awang Raduan (tiga dari kiri) bersama pegawai JTK Sarawak ketika sidang media Perintah Gaji Minimum 2020 di Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga.

KUCHING, Feb 4: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak telah mengesan seramai 222 majikan di negeri ini yang gagal mematuhi perintah gaji minimum ditetapkan kerajaan dari Januari hingga Disember 2019.

Pengarah JTK Sarawak, Awang Raduan Awang Omar berkata perkara ini terdedah selepas pihaknya melakukan pemeriksaan berkaitan perintah gaji minimum di sebanyak 6,346 tempat pekerjaan di seluruh negeri ini tahun lepas dan telah memberikan notis kepada 222 majikan terbabit bagi mematuhi perintah itu atau dikenakan tindakan.

“Ini (alasan majikan tidak mematuhi perintah gaji minimum) biasanya melibatkan keuntungan atau (perniagaan) di tempat terpencil disamping ada antara mereka memberi alasan telah tidak mendapat maklumat tentang perintah terbabit,” katanya pada sidang media Perintah Gaji Minimum 2020 di Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga di sini, hari ini.


Awang Raduan berkata pihaknya sebelum ini sudah menghebohkan dengan meluas maklumat berkaitan perintah tersebut kepada majikan di negeri ini melalui laman web malahan juga melalui siaran radio dalam pelbagai bahasa tempatan.

Beliau berkata berdasarkan rekod jabatan itu dari 2015 hingga 2019, JTK Sarawak telah membuka sebanyak 101 kertas siasatan bagi menyiasat majikan yang gagal membayar gaji minimum.

Katanya, daripada 101 kertas siasatan itu, 29 kes telah dihadapkan ke mahkamah dan sebanyak 24 kes terbabit telah disabitkan kesalahan.

“Selain itu, sebanyak 38 kes telah ditutup kerana kes telah diselesaikan manakala 34 kes yang lain masih dalam tindakan penyiasatan,” katanya.

Jumlah keseluruhan denda yang dikenakan terhadap majikan yang mematuhi gaji minimum adalah sebanyak RM194,203.57.

Awang Raduan berkata selepas ini pihaknya akan mula melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap majikan yang gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2020 yang sudah berkuatkuasa Febuari ini.

Perintah Gaji Minimum 2020 menetapkan gaji minima bulanan RM1,200 di kawasan majlis bandaraya atau majlis perbandaran serta gaji minima bulanan RM1,100 sebulan di kawasan lain.

“Kawasan majlis bandaraya di Sarawak ialah (Dewan Bandaraya) Kuching Utara dan (Majlis Bandaraya) Kuching Selatan dan Majlis Bandaraya Miri, manakala kawasan Majlis Perbandaran ialah Majlis Perbandaran Padawan, Majlis Perbandaran Kota Samarahan dan Bintulu,” katanya.

Beliau berkata majikan yang tidak membayar gaji pokok pekerja seperti ditetapkan Perintah Gaji Minimum 2020 adalah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja.

Pihaknya sehubungan itu mengalukan pekerja swasta di negeri ini termasuk yang bekerja sambilan untuk melaporkan majikan mereka yang enggan mematuhi perintah terbabit ke pejabat JTK Sarawak terdekat. — DayakDaily