MP Lubok Antu sumbang RM33,000 kepada 5 pertubuhan agama Daerah Engkilili

Jugah (dua dari kiri) menyampaikan geran kepada salah seorang wakil penerima pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Engkilili.

KUCHING, Feb 4: MP Lubok Antu, Jugah Muyang menyumbangkan geran berjumlah RM33,000 kepada lima pertubuhan agama di Daerah Engkilili.

Sumbangan geran itu diadakan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Sambutan Chap Goh Meh 2020 yang diadakan di tokong Tua Pek Kong Engkilili pada Ahad lepas.

Berucap di majlis itu, Jugah berkata perpaduan dalam kepelbagaian dicerminkan dalam perayaan-perayaan pelbagai kaum di negeri ini.


“Meskipun berlainan kepercayaan, kebudayaan dan keturunan, kita sentiasa hidup aman dan sejahtera meraikan sesuatu perayaan.

“Pada masa yang sama, ia amat penting kerana ini merupakan kunci ke arah kestabilan politik dan pembangunan ekonomi.

“Justeru, marilah kita bersama-sama mengekalkan kesejahteraan sedia ada,” katanya pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang penduduk sekitar Engkilili.

Daripada jumlah itu, Engkilili Chinese Temple Charitable Trust Board menerima RM10,000, Persatuan Teo-Chew Komuniti Cina (RM5,000), Persatuan Penganut Dewa Yi Bong Thai Thi (RM10,000), Tokong Cina Marup (RM5,000) manakala JKKK Komuniti Cina Jelukong menerima RM3,000.

Jugah berharap sumbangan itu dapat digunakan membangunkan aktiviti-aktiviti komuniti Cina di Pekan Engkilili.

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu Jim Andrew Janggi, Pegawai Bomba Sri Aman Gemong Batu dan ketua-ketua masyarakat. — DayakDaily