JSJN Sarawak cekup 18 kaki dadah dalam Ops Sarang

Gambar komposit menunjukkan lokasi serbuan dan kesemua suspek yang ditahan.

BINTULU, Julai 22: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak berjaya menahan 18 individu selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu Ops Sarang yang dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Bintulu-Miri di sini.

Ketua JSJN Sarawak, Supt. Sahar Abd Latif berkata, daripada 18 individu yang diberkas, 16 orang merupakan lelaki tempatan, manakala masing-masing seorang warga Filipina dan Indonesia.

Menurut beliau, kesemua suspek yang ditahan dari pukul 9 pagi hingga 3.30 petang itu berusia antara 16 sehingga 43 tahun.


“Hasil daripada intipan dan serbuan telah berjaya menahan seramai 25 orang lelaki.

“Kesemua lelaki berkenaan kemudian menjalani ujian saringan awal air kencing dan didapati seramai 16 orang lelaki warga tempatan dan (1) orang lelaki warga Indonesia dan (1) orang lelaki warga Filipina didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sahar memberitahu, siasatan lanjut mendapati kesemua suspek tidak memiliki kesalahan lampau.

Katanya, kesemua suspek terbabit ditahan di lokap Balai Polis Sentral Bintulu untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi. — DayakDaily