JPVS: Tiada bayaran untuk suntikan vaksin anti-rabies

Kakitangan JPVS (kiri) memberikan suntikan vaksin anti-rabies kepada anjing peliharaan penduduk di Program Pemvaksinan Anti-Rabies Percuma di luar pintu pagar SK Green Road, Kuching.

KUCHING, April 25: Pemilik anjing peliharaan di bandar raya ini masih tidak akan dikenakan sebarang bayaran sekiranya membawa semula anjing mereka ke program pemvaksinan anti-rabies Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS).

Penolong Pegawai Veterinar JPVS, Maisara Safidi berkata pihaknya mendapati masih ramai pemilik haiwan peliharaan tidak tahu yang program memberikan suntikan vaksin anti-rabies terbabit berterusan percuma dan beranggapan mereka kini perlu membayar kosnya.

“Sehubungan itu kami meletakkan perkataan ‘percuma’ pada nama program ini dan menjadi Program Pemvaksinan Anti-Rabies Percuma supaya orang ramai tahu dan perkataan ‘percuma’ ini juga menjadi daya tarikan kepada pemilik anjing bagi kembali menyertainya,” katanya ketika JPVS mengadakan program terbabit di pintu pagar luar Sekolah Kebangsaan (SK) Green Road, di sini, semalam.


Maisara berkata ini kerana ramai orang kerap bertanya samada anjing mereka akan dikenakan bayaran tertentu ketika kembali menyertai program terbabit malahan ada pemilik anjing khuatir membawa haiwan peliharaan mereka ke program itu lagi kerana tidak mahu menanggung kos suntikan itu.

Disamping itu, beliau mendedahkan kakitangan JPVS kini juga mengadakan lawatan dari rumah ke rumah di bandar raya ini bagi memastikan tiada anjing peliharaan yang masih belum mendapat suntikan di bawah program tersebut.

“Tetapi ada berlaku kes tuan rumah ketika lawatan itu tetap enggan anjing peliharaan mereka diberikan suntikan vaksin anti-rabies,” katanya.

Katanya ini mereka khuatir anjing peliharaan itu akan mati selepas diberikan suntikan itu kerana memang pernah berlaku kes sedemikian tetapi siasatan mendapati kematian disebabkan virus rabies sudah terlebih dahulu ada dalam badan anjing itu.

Selain itu ada juga kes anjing sakit telah mati selepas disuntik vaksin terbabit dan kematian disebabkan ketahanan badan anjing yang terlalu lemah dan sehubungan itu pihaknya menasihatkan pemilik anjing tidak memandikan haiwan peliharaan mereka selepas diberikan suntikan itu.

Maisara juga mendedahkan setakat ini program itu hanya memberikan suntikan vaksin anti-rabies kepada anjing peliharaan sahaja dan mereka belum ada menerima arahan bagi memberikan suntikan itu juga kepada kucing atau haiwan peliharaan lain.

Manakala di program terbabit di pintu pagar luar SK Green Road, beliau berkata sebanyak 15 ekor anjing peliharaan penduduk sekitar berjaga diberikan suntikan vaksin dalam tempoh 30 minit selepas program bermula jam 9 pagi dan beliau mendedahkan pihaknya mensasarkan memberikan suntikan terbabit kepada sebanyak 50 ekor anjing sehingga program selesai jam 6 petang. — DayakDaily