JPJ kutip RM3.85 juta saman

JPJ logo

KUCHING, 17 Ogos: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengutip hasil bagi pembayaran saman sebanyak RM3.85 juta melalui pelbagai saluran terimaan JPJ meliputi seluruh Kaunter JPJ, Kaunter Bergerak JPJ Mobile, Portal dan Kiosk JPJ yang melibatkan bilangan transaksi sebanyak 51,178 saman sehingga 15 Ogos 2020.

Menurut kenyataan JPJ hari ini, kutipan hasil tersebut adalah selaras pelaksanaan pengurangan saman yang boleh dikompaun sebanyak 70 peratus bermula 1 Ogos yang lalu.

JPJ Selangor merupakan yang tertinggi membuat kutipan iaitu sebanyak RM620,157 dengan 8,165 saman telah diselesaikan.


“Sehingga kini juga, jumlah saman yang tertunggak dan masih belum dijelaskan adalah sebanyak 2,404,353 dengan anggaran kutipan selepas pengurangan adalah RM170 juta.

“Bagi saman yang telah disenarai hitam adalah sebanyak 1,794,700,” kata JPJ dalam kenyataan tersebut hari ini.

Justeru, JPJ mengingatkan orang ramai agar merebut peluang bagi mendapatkan pengurangan saman kompaun sebanyak 70 peratus dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang tidak diingini.

“Seperti yang telah diketahui umum, saman yang tidak dibayar akan disenarai hitamkan dan kesannya akan menimbulkan masalah ketika berurusan dengan JPJ seperti pembaharuan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor, proses tukar hak milik serta lain-lain lagi,” jelas JPJ.

Kenyataan tersebut berkata, pengurangan saman kompaun JPJ yang bermula 1 Ogos sehingga 31 Ogos 2020 ini adalah bersempena dengan Bulan Kebangsaan dan selaras dengan tema Hari Kebangsaan 2020 iaitu “Malaysia Prihatin”.

“Pengurangan saman ini juga hanya diberikan bagi kes saman termasuk kesalahan Automated Awareness Safety System (AWAS), tujuh kesalahan utama, OPS Perayaan dan saman lain yang boleh dikompaun,” jelas kenyataan tersebut.-DayakDaily