JPBNS bertungkus lumus perangi Covid-19 — Abang Johari

File photo depicting a dose of a Covid-19 vaccine being prepared. Photo source: Flickr, Creative Commons License
Advertisement

KUCHING, 30 Ogos: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), terutamanya petugas barisan hadapan telah bertungkus lumus untuk memerangi penularan virus Covid-19 khususnya dengan kemunculan varian-varian baharu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, seperti dijangka penularan virus akan menjadi lebih sukar untuk dikekang jika ianya sudah merebak ke dalam kalangan komuniti.

“Inilah yang sedang berlaku kerana manusia sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain sambil membawa virus.

Advertisement

“Jangkitan sudah melibatkan semua daerah. Saya tahu ramai penghuni rumah-rumah panjang atau kampung-kampung yang terpaksa diangkut ke pusat-pusat kuarantin meninggalkan binatang ternakan, kebun sawit, kebun lada, kebun nenas, tanpa ada orang yang menjaga sepanjang tempoh kuarantin.

“Selain itu, mereka yang berniaga di pusat-pusat penjaja tidak dapat berniaga. Sudah pasti gangguan seperti ini mendatangkan kesan negatif yang mendalam kepada kehidupan harian mereka yang terkesan,” katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam Perutusan Sempena Hari Kebangsaan 2021 Peringkat Sarawak hari ini.

Tambah beliau, rakyat sudah biasa menjalani kehidupan yang bebas dan dengan sekatan yang dikenakan, ia menyukarkan urusan harian mereka.

Katanya, mungkin orang tidak dapat turun bekerja setiap hari dan terpaksa bekerja dari rumah.

“Kita tidak boleh beramai-ramai pergi ke pusat membeli-belah, kita tidak dapat menziarah ahli keluarga yang meninggal dunia, kita tidak dapat hadir di majlis hari lahir dan sebagainya yang biasa kita buat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abang Johari yakin semua rakyat sedar tentang adanya SOP-SOP yang perlu dipatuhi dalam setiap aktiviti di tempat awam dan tempat bekerja.

Ujar beliau, orang biasa bebas bergerak dan kadang-kala SOP-SOP yang ditetapkan sukar untuk dipatuhi dalam keadaan-keadaan tertentu.

“Walau apapun, saya amat berharap kita semua sentiasa berjaga-jaga dan menjaga keselamatan mereka di sekeliling kita dengan memakai pelitup muka, kalau boleh dua lapis, atau pakai ‘face-shield’ plastik.

“Kerap mencuci tangan dan seboleh-bolehnya jaga jarak sosial kita. Saya berharap dengan dua dos vaksin dan pematuhan kepada SOP, kita akan lebih selamat,” katanya. — DayakDaily

Advertisement