12 Pati termasuk seorang kanak-kanak diusir

Antara Pati yang diusir dalam operasi tersebut.

KUCHING, 30 Ogos: Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia diusir keluar selepas ditangkap menyeludup masuk ke negeri ini semalam (Ahad).

Divisyen Pertama Infantri Malaysia dalam siaran medianya memberitahu kesemua Pati terbabit, termasuk seorang kanak-kanak perempuan ditangkap dalam dua operasi Op Benteng berasingan.

Katanya, pengusiran pertama berlaku pada 2 petang ketika anggota melaksanakan serang hendap dan berjaya mengesan tiga individu lelaki dipercayai Pati.


“Mereka ditangkap berjalan kaki memasuki persempadanan Malaysia di lorong tikus sekitar Kampung Stass, Serikin Bau.

“Setelah ditahan dan disoal siasat, kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 35 tahun didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan bertindak memasuki ke Malaysia kerana ingin mencari kerja,” katanya.

Manakala pengusiran kedua pula berlaku di Biawak, Lundu pada 4.45 petang di mana sembilan individu dipercayai Pati dikesan cuba memasuki Malaysia dari arah Indonesia melalui lorong tikus.

“Setelah ditahan dan disoal siasat, sembilan Pati terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang berusia diantara 7 hingga 53 tahun.

“Mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan menyatakan tujuan memasuki Malaysia kerana ingin mencari pekerjaan,” katanya.

Kesemua Pati diusir dan laporan telah dibuat di Balai Polis Bau dan Lundu. — DayakDaily