JPBBM: Sekatan jalan-raya di Bakam dipindah ke lokasi lain

Datuk Lee (tiga dari kiri) bersama anggota penguatkuasa di SJR Jalan Bakam.

MIRI, 21 April: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) pada Rabu telah memutuskan untuk memindahkan sekatan jalan-raya (SJR) di Bakam ke lokasi berdekatan tanda papan sempadan Miri dan Subis.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin merangkap menteri bertanggungjawab terhadap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM), memberitahu keputusan tersebut dibuat setelah mengkaji lokasi SJR Bakam dan maklum balas yang diterima daripada pengguna-pengguna jalan tersebut.

Lee ditemui selepas mengadakan lawatan ringkas dan tinjauan petugas barisan hadapan yang bertugas di tiga lokasi SJR di sini iaitu di Bakam, Lambir dan Beluru.

Semasa lawatan, Lee turut menyampaikan ucapan ringkas bagi memberikan motivasi serta kata-kata perangsang kepada semua petugas untuk meningkatkan semangat pegawai dalam bersama-sama memerangi dan menyekat penularan pandemik Covid-19.

Beliau juga menyelesaikan beberapa permintaan daripada anggota-anggota yang bertugas.

Dalam sesi lawatan tersebut, Lee turut ditemani Pemangku Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusof.

“Saya telah meminta pemangku Residen untuk membuat pemindahan tersebut dengan secepat mungkin,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut maklumat daripada anggota sekatan, sejak pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baru-baru ini, anggaran jumlah aliran trafik berjaya dikurangkan sebanyak 40 peratus di SJR Bakam dan lebih kurang 20 peratus di SJR Lambir dan Beluru.

Beliau juga menyeru orang awam agar terus mematuhi segala peraturan dan standard operasi prosedur ( SOP ) dengan ketat untuk merentas daerah atau bahagian menjelang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.
— DayakDaily