JPBB Miri cadang sekolah ditutup selama 14 hari

Datuk Lee Kim Shin

KUCHING, 19 April: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri mencadangkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk menutup sementara sesi persekolahan selama 14 hari di Miri.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), ini susulan 13 peratus daripada 3,253 kes positif Covid-19 di daerah tersebut telah menular di sekolah.

Kemudahan perubatan di Hospital Miri serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Miri juga hampir mencapai kapasiti penuh.


“Sekolah-sekolah di Daerah Miri harus ditutup sementara bagi sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka selama 14 hari.

“Dalam tempoh itu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan.

“Bagaimanapun, penutupan sekolah ini akan dikaji selepas 14 hari,” kata Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin dalam satu kenyataan media semalam.

Tambah Lee yang juga Menteri Pengangkutan, cadangan dibuat selepas mengambil kira pandangan dan situasi semasa penularan Covid-19 dari Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, Hospital Umum Miri dan Pejabat Pendidikan Bahagian Miri.

Mesyuarat juga telah dimaklumkan bahawa seorang pengetua sekolah menengah di Miri telah diberikan notis kompaun kerana melanggar Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.

Lee yang juga ADUN Senadin turut memberitahu sekolah-sekolah di Daerah Subis dan Beluru yang mana terletak dalam zon merah Covid-19 dan mempunyai kes positif juga dicadangkan ditutup selama 14 hari.

“Keputusan ini telah disampaikan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak dan telah dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas,” katanya.

Justeru, Lee berharap Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya dan menyetujui permintaan untuk menutup sekolah memandangkan Miri berada di zon merah dan jumlah kes positif yang meningkat baru-baru ini. — DayakDaily