Joshua Jabeng: Sekarang masa sesuai Sarawak guna kuasa autonominya

Kelihatan Joshua (kanan) and timbalan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR Sarawak di Kuching.

KUCHING, 29 April: Sekarang merupakan masa yang paling sesuai untuk Sarawak menggunakan kuasa autonominya bagi mendapatkan vaksin Covid-19 untuk rakyat di negeri itu kata Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Joshua Jabeng.

Katanya, Sarawak mempunyai tabungan kewangan yang mencukupi untuk membeli vaksin terbabit tanpa bergantung kepada persyaratan yang menghambat daripada kerajaan persekutuan.

“Jumlah penduduk Sarawak yang sekitar 2.8 juta orang bukanlah bilangan yang terlalu besar untuk mendapatkan suntikan vaksin dalam masa yang terdekat.


“Terpenting sekali, kita mendapat bekalan vaksin yang mencukupi serta menambah lebih banyak pusat dengan melantik klinik dan pusat perubatan swasta di seluruh negeri untuk bersama melanksanakan program vaksinasi tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata, ketiadaan bekalan vaksin yang mencukupi telah menyebab klinik milik Ahli Parlimen Miri Dr Micheal Teo tidak dapat memberikan vaksin Covid-19 kepada orang ramai walaupun sudah mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk berbuat demikian.

“Apabila saya bertanya dengan Dr Teo berkekenaan perkara itu, beliau memaklumkan tiada sebarang vaksin telah dibekalkan kepada klinik miliknya bagi membolehkan beliau memberikan suntikan vaksin terbabit kepada penduduk di kawasan Parlimennya,” katanya.

Joshua berkata, dalam keadaan sekarang, semua pihak khususnya masyarakat yang tinggal di kawasan rumah panjang perlu sentiasa bersabar, patuh kepada prosedur operasi ‘standard’ (SOP) dan sentiasa menjaga kebersihan diri demi kebaikan bersama.

Katanya, setiap lapisan masyarakat harus sedar bahawa semakin berlarutannya pandemik Covid-19 maka selama itulah mereka harus menunggu untuk menjalani norma kehidupan sebelum ini.

Mengulas perlaksaaan Deklarasi Darurat oleh kerajaan persekutan, beliau berkata, jelas sekali tindakan berkenaan bukanlah satu langkah yang tepat dalam usaha negara membendung penularan Covid-19.

Katanya, dengan pelaksanaan deklarasi darurat tersebut, sewajarnya keadaan penularan covid-19 di negara ini sudah terkawal namum keadaan sebaliknya berlaku sedangkan negara lain dapat mengawal penularan Covid-19 dengan lebih baik tanpa perlu mengisytiharkan deklarasi darurat.

Ujarnya, rakyat kini mulai resah dan tertekan disebabkan pendapatan mereka mula merudum selain berlaku peningkatan pada harga barangan di pasaran.

“Mereka yang diarahkan berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) atau ‘lockdown’ bergantung harap kepada bekalan dan derma makanan.

“Situasi ini amat jelas menunjukkan perintah darurat yang dilaksakan sebelum ini dan akan tamat pada 1 Ogos nanti telah gagal dan harus dihentikan dengan serta merta,” katanya. — DayakDaily