JHS patah aktiviti pembalakan haram di Tamin

Pegawai penguatkuasaan JHS dilokasi longgokan kayu balak yang dipercayai ditebang secara haram.

KUCHING, 1 Feb: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) baru-baru ini berjaya mematahkan aktiviti pembalakan haram di kawasan Batu 36, Jln. Oya di Tamin, Selangau.

Dalam rondaan itu, sepasukan pegawai penguatkuasaan daripada Pejabat Hutan Wilayah Sibu telah menjumpai sebanyak 717 batang kayu balak pelbagai spesies dan saiz.

“Ia dipercayai telah ditebang secara haram kerana tiada mempunyai tanda Tukul JH, Tukul Hak Milik dan Tag LPI pada kedua hujung kayu balak berkenaan,” kata JHS dalam kenyataan hari ini.


Satu laporan telah dibuat di Balai Polis Selangau berhubung kayu balak yang ditahan bagi membolehkan tindakan selanjutnya dilaksanakan.

Nilai rampasan tersebut belum dapat dipastikan sehingga siasatan lanjut berkaitannya dilaksanakan.

Dalam pada itu, Pengarah JHS Datu Hamden Mohammad ketika dihubungi telah mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, satu kertas siasatan berkaitannya akan dibuka dalam waktu terdekat agar pihak yang terlibat tidak terlepas begitu sahaja. ā€• DayakDaily