Tingkatkan usaha banteras pembalakan haram – PKR

Senator Abun Sui Anyit

KUCHING, 4 Mac: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa kerajaan Sarawak menggiatkan usaha membanteras pembalakan haram di negeri ini.

Ahli Majlis Tertinggi PKR Abun Sui Anyit berkata, ia berikutan laporan Kementeri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim baru-baru bahawa Sarawak sekali lagi mendahului dalam jumlah kegiatan pembalakan haram.

“Kita tidak mahu Sarawak akan menjadi “juara lagi” dalam laporan Menteri pada tahun-tahun akan datang.


“Tidak mahu jadi juara kegiatan pembalakan haram bukan bermakna tidak membuat pemantauan dan penangkapan langsung sehingga kelihatan bersih atau tiada rekod pembalakan haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abun, pembalakan haram adalah salah satu cara bagaimana Kerajaan mengalami “ketirisan pendapatan” untuk hasil negeri.

Justeru katanya, Kerajaan Sarawak diharap melipatgandakan usaha untuk membanteras kegiatan pembalakan haram ini yang bukan sahaja merugikan Kerajaan.

Katanya, ia juga memusnahkan alam sekitar seperti hutan dan sungai yang merupakan punca rezeki ikan dan binatang penduduk pedalaman. — DayakDaily