PGA rampas 300 tan kayu balak di Kanowit

Kayu balak yang dirampas dalam operasi tersebut.

KUCHING, 8 Jan: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10 Sibu berjaya melumpuhkan kegiatan pembalakan haram di Nanga Lupus, Kanowit dalam satu operasi di bawah Ops Libas semalam.

Komandernya SAC Mancha Ata berkata sepasukan anggota dari Unit Risik telah menjalankan serbuan hasil daripada maklumat dan risikan yang diperolehi sekitar jam 10.20 pagi.

Beliau berkata hasil serbuan menemui 300 tan kayu balak pelbagai saiz yang disyaki diperolehi secara haram.


“Pasukan operasi kemudian merampas kesemua 300 tan kayu balak tersebut serta tiga buah jengkaut, satu generator dan satu mesin pam air dengan nilai keseluruhan mencecah RM555,990,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dedahnya juga, seramai dua lelaki tempatan ditangkap dalam operasi tersebut.

Kesemua rampasan dan tangkapan kemudian diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak Wilayah Sibu untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Ordinan Hutan Sarawak 2015. — DayakDaily