7,146 pelajar menyertai pasukan kadet bomba sekolah dalam Sarawak

Nor Hisham memakaikan pangkat sarjan kepada pelajar yang menjadi ahli pasukan kadet bomba di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (Kem Santubong).

KUCHING, Mac 12: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak ketika ini sudah mempunyai sebanyak 92 pasukan kadet bomba sekolah di negeri ini yang di sertai seramai 7,146 orang pelajar dan 258 guru.

Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata jumlah ini semakin meningkat berbanding hanya sebanyak 79 pasukan kadet bomba sekolah di negeri ini pada 2015 yang disertai 5,474 pelajar dan 158 guru.

“Sekarang (2018) kami ada sebanyak 92 pasukan itu yang disertai seramai 7,146 orang pelajar dan 258 guru dan semakin bertambah disebabkan semakin banyak sekolah di negeri ini mula melihat kemampuan JBPM Sarawak mengerakkan pasukan kadet bomba terbabit,” katanya ketika Majlis Penutupan Kursus Ketua Platun dan Pemakaian Tanda Pangkat Sarjan Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Sekolah-Sekolah Negeri Sarawak 2018 di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (Kem Santubong) di Santubong, di sini, hari ini.

Turut menghadiri majlis tersebut ialah pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Kuching High Tan Kiang Tuang, Penguasa Bomba Kanan II Janggan Muling, dan Penolong Pengarah Pengurusan dan Infrastruktur Pusat Kokurikulum Kem Santubong, Agnes Molly Eddie Saga.

Nor Hisham berkata JBPM Sarawak bagaimanapun tidak akan terus menekankan menubuhkan lebih banyak lagi pasukan kadet bomba di sekolah negeri ini tetapi lebih menekankan kepada mengaktifkan kesemua 92 pasukan itu supaya dapat mula membantu JBPM Sarawak mengurangkan kes kebakaran sekolah.

Nor Hisham (tengah) bersama pelajar sekolah yang menjadi ahli pasukan kadet bomba di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (Kem Santubong).

“Tahun lepas keseluruhannya sebanyak lapan sekolah di negeri ini mengalami kebakaran dan tahun ini hanya ada satu sekolah mengalami kebakaran. Saya ingin menekankan kebakaran sekolah terbabit berjaya dipadamkan pelajar, guru dan kakitangan sekolah mengunakan sebanyak 20 biji alat pemadam api,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya akan menyiasat mengenai pengunaan 20 biji alat pemadam api terbabit yang agak banyak kerana berkemungkinan pelajar sekolah di negeri ini ramai sudah mengetahui kaedah memadam api yang betul iaitu mengunakan alat pemadam api tetapi ramai tidak tahu teknik mengunakannya dengan betul.

Menurut Nor Hisham, penyertaan pelajar dalam pasukan kadet bomba penting bagi membantu mencegah kebakaran sekolah kerana pelajar terbabit diberikan latihan memadam kebakaran lebih lama dan terperinci oleh JBPM Sarawak berbanding orang awam yang hanya diajar sekejap sahaja mengenai cara memadamkan kebakaran termasuk cara mengunakan alat pemadam api.

“Disamping itu, pelajar yang menjadi ahli kadet bomba juga dapat membantu kami menangani isu berkaitan perbuatan vandalisma terhadap pili bomba dan mengalakkan ibu bapa mereka membeli alat pemadam api bagi disimpan di rumah,” katanya.

Pihaknya juga sudah mula memberikan pemakaian pangkat kepada ahli kadet bomba di negeri ini yang dipercayai akan membolehkan pelajar merasa bangga dengan pembabitkan aktif mereka dalam pasukan kadet bomba disamping kepimpinan mereka selama ini juga turut diiktiraf JBPM Sarawak.

“Selama tiga hari dan dua malam pelajar yang menyertai pasukan kadet bomba berkampung di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak ini dan hari ini menyaksikan 59 pelajar terbabit dari 13 sekolah dari Kuching dan Samarahan memakai tanda pangkat sarjan. Selepas ini kami akan kembangkan usaha ini ke zon lain,” katanya.

Nor Hisham mengakui ketika ini pelajar dan guru berhadapan banyak cabaran bagi menyertai pasukan tersebut kerana bukan sahaja mereka terpaksa membeli sendiri pakaian seragam kadet bomba malahan juga terpaksa menangung sendiri perbelanjaan bagi mengikuti aktiviti perkhemahan kadet bomba. — DayakDaily