Jenayah serius di balai polis, Wanita Keadilan gesa siasatan penuh

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 18 Jan: Timbalan Wanita Keadilan Sarawak Zulhaidah Suboh mempersoalkan bagaimana kesalahan jenayah yang begitu serius boleh berlaku di balai polis.

Beliau merujuk kepada kes melibatkan seorang remaja berusia 16 tahun yang dirogol ketika ditahan oleh polis di Balai Polis Pusat Miri.

“Wanita Sarawak memandang serius terhadap kes rogol ini. Pihak berkuasa diminta menjalankan siasatan yang setimpal dan memaklumkan kepada orang awam hasil siasatan.


“Terdapat beberapa persoalan yang wajar diambil serius oleh semua pihak terutama dalam prosedur mengendali orang kena syaki yang diletakkan di bawah pihak berkuasa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Zulhaidah turut mempersoal tentang tiada jarak pemisah yang mencukupi dalam lokap yang menempatkan tahanan yang berbeza jantina.

Menurut pengadu dalam kes ini katanya, mereka telah dikurungkan di sel lokap berlainan tetapi ditempatkan di lokap yang sama.

Seterusnya, pintu sel lokap orang yang disyaki tersebut dengan yang lain adalah tidak dikuncikan.

“Sekiranya ini merupakan perkara yang benar, kami ingin bertanya sama ada terdapat ketidakaturan dalam mengendalikan tahanan ini.

“Kerana ini akan mendatangkan risiko orang kena tahan (OKT) untuk melarikan diri dan membahayakan anggota yang bertugas.

“Tambahan pula, kami berasa amat terkejut apabila terbaca bahawa OKT tersebut mempunyai kunci sel lokap pengadu. Jika perkara ini adalah benar, ini amatlah membimbangkan,” ujar Zulhaidah.

Jelas beliau lagi, Seksyen 85 Akta Kanak-kanak 2001 telah menetapkan bahawa pengasingan kanak-kanak dari orang dewasa di balai polis sementara menunggu sebelum atau selepas kehadiran di mana-mana mahkamah harus di bawah jagaan seorang wanita.

Katanya, ia untuk memastikan keselamatan dan mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. — DayakDaily