SKM sedia Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi bantu koperasi terjejas banjir

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 18 Jan: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi untuk membantu gerakan koperasi yang teruk terjejas akibat banjir.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, koperasi yang terjejas layak menerima bantuan sehingga RM30,000 bagi setiap koperasi.

“Sepertimana dalam peruntukan Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007, bantuan kecemasan ini akan digunakan oleh koperasi sebagai pampasan yang sewajarnya ke atas apa-apa kerosakan premis, aset atau produknya akibat bencana alam atau faktor luar kawalan.


“Ianya diharap dapat membantu koperasi membangunkan semula aktiviti ekonomi serta mengurangkan beban koperasi yang terjejas akibat bencana alam tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Wan Junaidi, SKM juga turut menyediakan Bantuan Pembangunan Koperasi dan Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) Tanpa Cagaran di mana keutamaan permohonan diberikan kepada koperasi yang terjejas.

Ujar beliau, Bantuan Kecemasan Koperasi yang ditawarkan sekurang-kurangnya dapat membantu koperasi meningkatkan kembali kapasiti koperasi untuk menggerakkan semula aktiviti perniagaan koperasi agar terus menjadi penyumbang efektif kepada pembangunan ekonomi negara.

Selain itu jelas Wan Junaidi, aktiviti koperasi juga sebelum ini turut terjejas berikutan tempoh kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan akibat penularan Covid-19.

“Ini memberikan kesan kepada kebajikan seramai 6.10 juta anggota koperasi seluruh negara.

“Sehingga 15 Januari 2021, dianggarkan sejumlah RM3.2 juta kerugian yang melibatkan 73 buah koperasi yang terjejas di seluruh negeri,” katanya.

Menurut beliau ia merangkumi negeri-negeri seperti Pahang dengan 40 koperasi, Kelantan (3 koperasi), Terengganu (9 koperasi), Johor (9 koperasi), Sarawak (2 koperasi), Sabah (2 koperasi), Perak (5 koperasi), Negeri Sembilan (1 koperasi), Melaka (1 koperasi) dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan satu koperasi. — DayakDaily