Jenayah di Sarawak terkawal, catatkan penurunan jenayah indeks

Mancha memeriksa barisan kawalan kehormatan.

KUCHING, 25 Mac: Polis Kontinjen Sarawak untuk tiga bulan pertama (1 Jan-19 Mac) tahun ini mencatatkan penurunan jenayah indeks berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata sebanyak 799 kes jenayah dilaporkan berbanding 987 kes pada tempoh sama tahun 2021.

Katanya, perbandingan tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 188 kes bersama 19 peratus.


“Keadaan jenayah di negeri ini pada umumnya berada di tahap yang terkawal.

“Walaupun tempoh tiga bulan pada awal tahun ini menunjukkan penurunan, namun kita akan terus cuba mengurangkan indeks kes tersebut berbanding tahun lepas.

“Kita juga telah merancang pelbagai pelan dan operasi bagi mengawal jenayah-jenayah dari terus berlaku,” katanya semasa berucap sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di IPK Sarawak, hari ini.

Mancha dalam majlis tersebut diiringi Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak, SAC Tuan Gilberd Philip Layang.

Sempena Hari Polis tahun ini juga, Mancha turut menyampaikan anugerah kepada enam penerima Anugerah Juara Integriti yang terdiri daripada seorang pegawai kanan, tiga anggota dan dua Pegawai Awam PDRM Kontinjen Sarawak.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Cawangan Khas Sarawak, SAC Tuan Hairuddin Che Hamid, Ketua JSJ Sarawak, SAC Tuan Lukas Aket, Pemangku Pengerusi PERKEP Sarawak Datin Jennita William, dan Ketua Biro PERKEP Sarawak Siti Manau.

Turut memenuhi undangan tadi ialah YBhg Dato’ Aladdin Kassim, bekas Ketua Cawangan Khas Sarawak, Dato’ Zamani Tan Sri Haji Hamdan, bekas Ketua Jabatan Pengurusan, wakil-wakil persatuan-persatuan pesara polis serta rakan-rakan media. — DayakDaily