LAWAS, 20 Jun: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak membuat satu laporan polis terhadap sekumpulan penduduk yang bertindak agresif menyerang anggotanya ketika operasi memadam kebakaran di Kampung Belipat, Jalan Punang di sini semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Sarawak Henderi Ardimansyah memberitahu kejadian berlaku ketika anggota dari Balai Bomba Lawas sedang berusaha memadam kebakaran sebuah rumah.
Jelasnya, beberapa lelaki dikatakan membuat provokasi sebelum seorang daripadanya bertindak menyerang anggota bertugas.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan masih dijalankan.
“Sekiranya didapati bersalah, mana-mana pihak yang segaja mencaci, menyerang, mengacau, mengalang atau mengganggu pihak bomba melaksanakan tugas boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara sehingga lima tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya juga, kejadian tersebut dirakam kamera mudah alih yang dipasang pada seorang anggota yang bertugas.
Henderi selain itu turut menasihatkan orang ramai sekiranya berlaku kebakaran diminta untuk terus menghubungi Bomba dan bukannya merakam video dan gambar kebakaran agar tindakan segera dapat diambil.
Menjelaskan mengenai insiden tersebut, Henderi memberitahu pihaknya mendapat panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada jam 3.18 petang.
Pasukan Bomba yang tiba di lokasi terus memadam kebakaran melibatkan sebuah rumah dan dua buah kenderaan iaitu sebuah Perodua Alza dan Toyota Hilux.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily