Tiada radiasi di kawasan dan objek yang ditemui di Sepupok, Niah

Pemeriksaan dilakukan di kawasan dan objek tersebut.

MIRI, 1 Ogos: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) mengesankan tiada radiasi di kawasan dan objek yang dipercayai serpihan setelit Negara China yang terjatuh di kawasan Sepupok, Niah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Sarawak Henderi Ardimansyah berkata kes tersebut kini diambil alih oleh Lembaga Atom Malaysia.

“Tiada radiasi di kawasan dan objek tersebut. Kes kini diambil alih oleh pihak Lembaga Atom Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan berkata objek logan tersebut ditemui terbenam ke dalam tanah pada kedalaman lebih kurang 1 meter.

Katanya, kawasan tersebut kini dipantau dengan rapi untuk memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar yang dikhuatiri menimbulkan kegusaran kepada masyarakat umum.

“Sekiranya ada maklumat mahu disalurkan, kita sarankan segera hubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. — DayakDaily