Perais lega OKU diberi perhatian khusus dalam program vaksinasi

Antara golongan orang kurang upaya yang menerima suntikan vaksin di Pusat Perubatan Pakar Normah semalam.

KUCHING: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) lega golongan orang kurang upaya (OKU) diberi perhatian khusus di dalam program vaksinasi di negeri ini.

Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, ramai ahli-ahli persatuan termasuk golongan OKU yang lain telah menerima manfaat daripada program tersebut.

Ia dilaksanakan menerusi program vaksinasi OKU secara pandu lalu yang telah diadakan di Pusat Perubatan Pakar Normah (NMSC) pada semalam.


“Program vaksinasi OKU secara pandu lalu berkenaan memudahkan golongan kami menerima suntikan vaksin.

“Dimaklumkan bahawa terdapat ahli-ahli persatuan telah menerima kemudahan ini pada semalam termasuk Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak Isak Ngau dan 100 orang ahlinya” kata Rapelson dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, seramai 331 OKU telah mendapat vaksinasi dos pertama di NMSC yang turut dihadiri Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menerusi kenyataan itu, Rapelson menggesa golongan OKU lain yang belum mendaftar atau menerima vaksin boleh memaklumkan secara terus kepada Kementerian.

Katanya, mereka juga boleh menghantar nama kepada Persatuan untuk dihantar kepada pihak Kementerian. — DayakDaily