Jaziri: Usah ragu dan curiga dengan kehadiran PN di Sarawak

Jaziri Alkaf A. Suffian

KUCHING, 4 April: Perikatan Nasional (PN) tetap menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi kelangsungan rakyat negeri ini .

Oleh itu, tegas Pengerusi Badan Perhubungan PN Sarawak Senator Jaziri Alkaf A. Suffian, GPS tidak perlu ragu dan curiga dengan kehadiran PN di Sarawak.

“Sejajar dengan ucapan Perdana Menteri sempena majlis perjumpaan pemimpin bersama masyarakat yang berlangsung di Hotel Waterfront baru-baru ini, bahawa kehadiran PN di Sarawak adalah untuk membantu dan bekerjasama dengan GPS,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Tambah Jaziri, lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sarawak pada Khamis dan Jumaat lepas telah membuka ruang untuk merapatkan hubungan dan kerjasama antara GPS dengan PN sama àda di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri Sarawak.

Beliau yakin kerjasama baharu yang lebih erat melalui GPS dan PN ini mampu memacu Malaysia serta negeri Sarawak ke arah yang lebih baik dan makmur untuk semua.

“Ini kerana setiap daripada kita, baik orang Melayu, Iban, Melanau, Orang Ulu, Cina mahupun India atau mana-mana etnik di negeri ini tidak boleh dibiarkan ketinggalan dalam menikmati peluang pembangunan yang kita usahakan secara bersama sejak sekian lama.

“Saya yakin dengan dokongan padu GPS, kestabilan politik akan dapat dikekalkan dan pentadbiran negeri akan dapat berjalan dengan lancar, terutamanya dalam mengurus pandemik yang sedang melanda kita pada waktu ini,” ujar beliau.

Menerusi kenyataan itu, Jaziri turut merakamkan terima kasih atas sokongan padu GPS kepada Kerajaan PN di peringkat Persekutuan selain menyokong kerjasama dengan kepimpinan Parti Peribumi Bersatu Negeri Sarawak serta PN Sarawak. — DayakDaily