Jaul: Budaya kerja KIK penjawat awam Sarawak terus berkembang

Jaul (duduk) bersama pegawai kerajaan negeri menunjukkan sijil Anugerah Emas yang dimenangi dalam sidang media di Kuching, hari ini (Okt 1, 2019).

KUCHING, Okt 1: Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Jaul Samion yakin budaya kerja Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dalam kalangan penjawat awam di negeri akan terus berkembang.

Katanya, budaya kerja tersebut terus menerima komitmen berterusan dari semua pihak.

“Dengan adanya insiatif KIK, ia dapat mengurangkan kos pengurusan, meningkatkan kecekapan dan memudahkan proses kepada pengguna.


“Justeru, saya menyeru agar semua ketua jabatan memainkan peranan penting dalam menyemarakkan budaya kepekaan yang mementingkan inovasi dan kualiti dalam penyampaian perkhidmatan awam negeri ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Jaul, komitmen ini terbukti setelah KIK Sarawak memenangi empat Anugerah Emas di International Convention on Quality Control Circles (ICQCC) di Jepun baru-baru ini.

Pencapaian cemerlang itu, kata Jaul, membuktikan budaya kerja KIK dalam kalangan penjawat awam di negeri ini semakin berkembang.

Konvensyen anjuran Union Of Japanese Scientists And Engineers (JUSE) yang berlangsung pada Sept 21 hingga 27 lepas di Keio Hotel, Tokyo telah disertai oleh 16 buah negara dari Benua Asia, Eropah Dan Amerika serta melibatkan 370 kumpulan.

Kontingen Sarawak diketuai Jaul bersama empat kumpulan iaitu Kumpulan Do It 3 (Jabatan Perbendaharaan Negeri Sarawak), Kumpulan The Hummer (Sarawak Timber Development Corporation atau STIDC), Kumpulan Forcescap (Majlis Bandaraya Miri) dan Kumpulan Jagu (Majlis Daerah Sri Aman).

Sementara itu, Jaul berkata kerajaan Negeri akan mengadakan Konvensyen KIK Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Konvensen Borneo Kuching 2019 pada Oktober 14 hingga 16 depan. — DayakDaily.