Benih ikan empurau, benih ikan lampan jawa dilepaskan ke Sungai Busang

Dr Abdul Rahman (barisan depan, tiga dari kiri) dan Liwan (barisan depan, dua dari kiri) melepaskan benih-benih anak ikan empurau dan ikan lampan jawa ke Sungai Busang di Kampung Long Busang, daerah Belaga.

BELAGA, Long Busang, Okt 1: Menteri Muda Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Dr Abdul Rahman Ismail bersama Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang telah menyempurnakan majlis pelepasan 2,000 benih ikan empurau dan 2,000 benih ikan lampan jawa ke Sungai Busang hari ini.

Kos pasaran benih anak empurau tersebut di pasaran dianggarkan beharga RM120,000 manakala benih ikan lampan jawa pula dianggarkan beharga RM600.

Majlis tersebut yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak bertujuan untuk memelihara dan memulihkan sumber ikan setempat (‘restocking’).


Selepas upacara tersebut, mereka berdua penyampaian bantuan ehsan mangsa banjir daripada Jabatan Kebajikan Sarawak untuk penghuni dari 134 buah rumah, berjumlah keseluruhan RM34,000.

Dalam majlis tersebut Dr Abdul Rahman telah menyerahkan geran peruntukan daripada Ketua Menteri Sarawak berjumlah RM1 juta bagi menaiktaraf gereja di kampung tersebut.

Peruntukan RM1 juta untuk menaiktaraf masjid di kampung sama, disalurkan terus kepada Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais).

Dalam ucapannya, Dr Abdul Rahman berharap masyarakat sama-sama membantu menjaga alam sekitar secara lestari bagi menjamin sumber ikan yang mampan.

Kampung Long Busang merupakan sebuah kampung yang diduduki oleh Kenyah Badeng.

Perjalanan ke kampung tersebut dari jeti ampangan Bakun mengambil masa kira-kira lapan jam dengan menaiki bot.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Murni Suhaili. — DayakDaily