“Jangan keliru dengan penggunaan gelaran Premier Sarawak”

John Sikie berucap di Program Santai Pemimpin Bersama Komuniti DUN Kakus pada semalam (7 Mac 2022). Foto: Ukas

KUCHING, 8 Mac: Rakyat tidak perlu keliru dengan penggunaan gelaran Premier Sarawak yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 15 Februari lepas.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, penggunaan gelaran berkenaan adalah untuk untuk membezakan Sarawak sebagai salah satu wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya sebagai memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), penggunaan gelaran ini juga akan mengembali dan memperjuangkan hak-hak Sarawak semula berdasarkan perjanjian tersebut.


“Gelaran Premier ini adalah bersesuaian dengan taraf Sarawak bagi menggantikan gelaran Ketua Menteri kerana kita tidak sama dengan taraf negeri-negeri lain yang menggunakan jawatan Ketua Menteri seperti negeri Kelantan dan Selangor.

“Gelaran Premier ini lebih tinggi daripada Ketua Menteri dan bawah dari Perdana Menteri.

“Selain itu, jawatan Menteri Muda sebelum ini juga ditukar kepada gelaran Timbalan Menteri berkuatkuasa 1 Mac 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Santai Pemimpin Bersama Komuniti DUN Kakus di Rumah Jeffery Irut, Lubok Bukut, Balingian, Mukah semalam.

Dalam pada itu, John Sikie berkata, kerajaan juga sedaya upaya memberi fokus kepada pembangunan kawasan luar bandar.

Ini termasuk menyediakan kemudahan 3,000 menara telekomunikasi di seluruh Sarawak yang kini sedang dijalankan secara berperingkat di kawasan pedalaman.

Selain itu, turut dibangunkan kemudahan bekalan air bersih, jaringan jalan raya dan kemudahan jalan raya.

“Jika sebelum ini jalan ke kawasan ini (Lubok Bukut) adalah amat teruk, jadi keutamaan saya adalah menyediakan kemudahan jalan raya supaya rumah-rumah panjang dapat dihubungi dengan jalan raya.

“Kita bersyukur kerana kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memberi banyak kesejahteraan rakyat,” ujarnya lagi.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Biro Wanita Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jeffery dengan jumlah RM10,000, JKKK Rumah Jeffery (RM19,000), Rumah Jimin (RM22,000), Rumah Steven (RM19,000) dan Rumah Jarau (RM15,000). — DayakDaily