Jabatan, agensi kerajaan negeri digesa beri sesi taklimat keselamatan

Caution sign. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

KUCHING, Mac 13: Selepas memainkan lagu ‘Negaraku’ dan ‘Ibu Pertiwiku’, semua jabatan dan agensi kerajaan negeri kini diminta sentiasa terlebih dahulu memberikan sesi “taklimat keselamatan” kepada orang ramai sebelum memulakan sesuatu acara atau majlis yang dianjurkan mereka di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata ini akan seperti yang dilakukan pihak hotel supaya orang ramai mengetahui tindakan yang perlu dilakukan sekiranya ada berlaku sebarang kecemasan di premis acara atau majlis terbabit diadakan bagi memastikan keselamatan mereka.

“Saya sekarang meminta ini juga dilakukan (jabatan dan agensi bawah kerajaan negeri) dan bermula dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak. Mesti ada sesi taklimat keselamatan dan kita boleh melihat kebanyakkan hotel dan sebagainya ada memberikan taklimat itu sebelum ini,” katanya ketika merasmikan Program CEO Talk Siri 1/2018 anjuran Tabung Baitulmal Sarawak dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak di Dewan Utama, Tabung Baitulmal Sarawak di Batu Kawa, di sini, hari ini.

Advertisement

Mohamad Morshidi berkata sesi taklimat keselamatan terbabit mungkin akan menjadi sesuatu yang membosankan kepada orang ramai sekiranya sentiasa diberikan setiap kali ada majlis atau acara dianjurkan jabatan dan agensi kerajaan negeri serta mereka mungkin tidak mengambil perhatian terhadap sesi itu.

“Tetapi bagi saya perkara berkaitan keselamatan mestilah menjadi perkara pertama penting yang kita (agensi dan jabatan kerajaan negeri) perlu amalkan di semua tempat. Kalau kita sentiasa mematuhi prosedur keselamatan maka kita akan dapat mencapai banyak kecemerlangan di tempat kerja,” katanya.

Malahan beliau mendedahkan banyak organisasi yang cemerlang mempamerkan papan tanda mengutamakan keselamatan dan penunjuk kepentingan keselamatan di tempat kerja seperti “Kemalangan Sifar” dan “1,000 Jam Bekerja Tanpa Kemalangan” yang bermakna organisasi itu meletakkan keselamatan sebagai perkara pertama penting.

“Kalau kamu (jabatan dan agensi kerjaan negeri) menjadikan perkara keselamatan menjadi pertama penting, kamu akan memastikan banyak proses, langkah dan prosedur operasi piawai (SOP) bekerja yang ditetapkan juga sentiasa dipatuhi dan ini bererti organisasi kamu mengamalkan kecemerlangan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sememangnya mahu jabatan dan agensi dibawah kerajaan negeri mengamalkan kecemerlangan dalam organisasi kerana negeri ini sedang merancang banyak projek mega dan perlu melaksanakan projek terbabit dengan cemerlang tanpa masalah tergendala yang bukan sahaja akan meningkatkan kos projek tetapi mengecewakan rakyat yang lama menunggu penyiapan projek terbabit.

Katanya antara projek terbabit yang telah diumumkan sebelum ini ialah Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Sistem Grid Air Sarawak, dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), dan kerajaan negeri sudah menubuhkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) bagi membiayai projek terbabit.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga sudah mengumumkan pelaksanaan projek Ekonomi Digital bagi Sarawak, dan sebahagian tujuan melaksanakannya ialah memacu pembangunan Sarawak ke peringkat lebih tinggi. Ketika ini kadar pertumbuhan Keluaran dalam Negara Kasar (GDP) negeri kita ialah 4 peratus setahun dan kami mensasarkan meningkatkannya kepada 6 peratus,” katanya, sambil menambah berdasarkan kiraan pihaknya negeri ini mampu mencapai sasaran terbabit menjelang 2030 mengunakan inisiatif Ekonomi Digital. — DayakDaily

Advertisement