Kanak-kanak perempuan hampir lemas selepas terkunci dalam kenderaan

Kelihatan kanak-kanak perempuan terkunci dalam sebuah kenderaan.

BINTULU, Mac 12: Tindakan pantas pasukan bomba membuka pintu sebuah kenderaan pacuan empat roda berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan daripada lemas selepas dia terperangkap dalam kenderaan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, kanak-kanak berusia satu tahun enam bulan dilaporkan terkunci dalam kenderaan tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, pihaknya bergegas ke rumah keluarga kanak-kanak terbabit sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.


Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kanak-kanak terbabit dalam keadaan agak lemah akibat sukar untuk bernafas.

“Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kenderaan itu.

“Akhirnya, selepas kira-kira 30 minit berusaha, pasukan bomba kemudian berjaya membuka pintu kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahli keluarga mangsa bersama anggota bomba yang terlibat dalam operasi itu.

Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, selepas berjaya mengeluarkan mangsa, anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada kanak-kanak terbabit.

Katanya, kanak-kanak itu amat bertuah kerana masih dapat bertahan meskipun dalam keadaan terkunci dalam kenderaan yang tiada udara.

“Operasi tamat sepenuhnya selepas mangsa pulih seperti biasa,” katanya lagi. — DayakDaily