‘Jentera BN Marudi tidak harus pandang ringan terhadap parti pembangkang pada PRU14’

Penguang (duduk lima dari kanan) melakukan upacara miring di Rumah Panjang Hillary Tawan Anchai Sungai Engkalak, Poyut B, Marudi.

MARUDI, Mac 13: Jentera Barisan Nasional (BN) di semua peringkat di Marudi tidak harus mengambil mudah tentangan daripada parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datu Dr Penguang Manggil berkata, jentera BN tidak harus memandang ringan saingan yang bakal dihadapi calon BN bagi kawasan Parlimen Baram kelak.

“Apa yang lebih penting, jentera BN di Marudi khasnya perlu bekerja kuat dan bersungguh-sungguh memastikan calon BN kelak menang dengan majoriti lebih besar.


“Jangan andaikan Parlimen Baram adalah kubu kuat BN. Kalau pengundi tidak keluar dan sokong kita, kita bimbang kalau ia berlaku, undi majoriti lebih rendah daripada PRU lalu,” katanya semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Hillary Tawan Anchai Sungai Engkalak, Poyut B, di sini.

Dalam masa sama, Penguang juga telah menyampaikan cek MRP kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Hillary Tawan Anchai iaitu sebanyak RM30,000, Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Rumah Hillary Tawan (RM5,000) dan JKKK Rumah Telajan Sungai Brit (RM20,000).

Turut hadir adalah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Alexander Asing, SAO Marudi Reagan Edwin, ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum di Daerah Marudi.

Dalam pada itu, Penguang menambah, PRU14 mempunyai pentingnya tersendiri dengan harapan BN dapat diperkukuhkan bagi memastikan kemenangan besar calon BN di kawasan tersebut kelak.

Jelas beliau, keputusan BN menang adalah penting untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di negeri ini.

“Jadi, kita mahu rakan-rakan pemimpin yang mendukung BN supaya bekerja keras bagi memastikan kawasan Parlimen Baram kekal di tangan BN,” katanya. — DayakDaily