Isu banjir: Tiong minta jangan kitar semula menteri ‘pandai cakap tapi tidak laksana’

Tiong (kanan) bersama yang lain mengharungi air banjir semasa lawatannya ke Lorong Old Oya 22 pada 15 Jan 2022.

KUCHING, 21 Jan: Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing menggesa menteri-menteri yang bertanggungjawab supaya mengambil serius isu banjir di Malaysia atau berdepan penyingkiran daripada Kabinet.

Beliau berkata, ahli politik tidak sepatutnya bersikap sombong dan keras kepala tetapi sebaliknya menerima cadangan penyelesaian isu banjir dengan hati terbuka.

“Mereka juga sering memberikan respon ‘ambil perhatian’ dan ‘akan dipertimbangkan’ sekiranya turun ke tempat-tempat dilanda musibah atau ketika majlis bersama rakyat, namun tiada tindakan susulan yang dibuat.


“Rakyat hanya menanti dengan penuh harapan kerana percaya kata-kata yang diucapkan oleh menteri ini sebagai janji.

“Tiba masanya untuk menteri-menteri ini mengambil langkah muhasabah diri, cuba berada di tempat rakyat yang dilanda musibah banjir ini. Jangan hanya pandai bercakap, tapi kerja semua ‘Kong Kali Kong’,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau seterusnya berkata sekiranya menteri tidak dapat menjalankan tugas dengan baik, beliau meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil tindakan sewajarnya dengan menyingkirkan mereka daripada barisan Kabinet.

Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke China merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata antara tahun 2005 sehingga 2006, terdapat cadangan yang baik dikemukakan pihak berkaitan untuk melebarkan sungai Klang supaya hujan lebat dapat mengalir dengan lebih lancar ke laut.

Katanya, jika pihak berkaitan ketika itu menerima cadangan tersebut dan mengambil langkah berjaga-jaga serta turut mengkaji hala tuju pelaksanaan cadangan tersebut, kemungkinan ia boleh berfungsi sebagai tebatan banjir (retention pond) untuk membantu mengawal kesan banjir dan mengurangkan kesan hujan lebat di kawasan rendah.

Beliau juga berkata setiap kali beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan sungai di kawasannya, beliau sentiasa menerima jawapan: tidak cukup peruntukan untuk berbuat demikian.

“Akibat daripada sikap ‘terlepas pandang’ inilah, kita masih belum dapat melaksanakan kerja-kerja di sungai berkaitan, sehingga kita terpaksa menanggung kerugian lebih RM6 bilion,” katanya.

Beliau seterusnya menyeru kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang supaya bersatu dalam menyelesaikan isu kepentingan rakyat dengan mengenepikan fahaman dan perbezaan politik masing-masing. — DayakDaily