ISO 45001 dijangka diperkenalkan tahun ini

Peserta yang hadir di seminar sedang mendengar penerangan isi kandungan majlis.

MIRI, Jan 23: Organisasi tempatan dan asing yang beroperasi di negara ini perlu bersedia untuk melaksanakan ISO 45001, yang merupakan piawaian antarabangsa pertama bagi pengurusan kesihatan dan keselamatan pekerjaan.

Standard baru Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) 45001 dijangka menggantikan piawaian British yang digunakan secara meluas untuk pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OHSAS 18001) dan tempoh perpindahan akan ditetapkan atas persetujuan semua pihak terbabit.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata draf ISO 45001 kini berada di peringkat akhir dan standard baru itu dijangka diperkenalkan tahun ini.


ISO 45001 yang dicadangkan pada Mac 2013 telah menjalani pelbagai peringkat formulasi dalam lima mesyuarat di London, Casablanca, Trinidad, Geneva dan Mississauga.

Drafnya telah dibentangkan dan dibincangkan di kalangan pihak berkepentingan pada mesyuarat ke-enam yang diadakan di Melaka pada September tahun lepas.

“Standard ini sedang dibangunkan oleh jawatankuasa yang terdiri daripada pakar-pakar kesihatan dan keselamatan pekerjaan dan ia akan mengikuti pendekatan sistem pengurusan generik lain seperti ISO 14001 dan ISO 9001.

“Ia akan mengambil kira piawaian antarabangsa yang lain seperti OHSAS 18001, Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pelbagai piawaian kebangsaan serta standard dan konvensyen buruh antarabangsa,” kata Lee selepas merasmikan seminar ISO 45001 di sini hari ini.

Seminar sehari bertajuk “Sistem Pengurusan KKP: Bergerak Ke Hadapan dengan ISO 45001” itu dianjurkan bersama oleh NIOSH Certification Sdn Bhd (NCSB) dan TM Tec Academy (M) Sdn Bhd.

Sama seperti OHSAS 18001, yang dilancarkan pada tahun 1999, Lee berkata ISO 45001 bertujuan untuk menyelaraskan standard kesihatan dan keselamatan kebangsaan bagi mengelakkan kekeliruan.

Beliau berkata piawaian ISO 45001 boleh membantu organisasi menguruskan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mereka supaya tidak ada individu yang akan tercedera atau mengalami masalah kesihatan di tempat kerja.

Pada masa ini, beliau berkata organisasi di Malaysia mengamalkan OHSAS 18001 dan Malaysian Standard (MS 1722) untuk sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan mereka.

“Keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah isu global dan rekod ISO menunjukkan bahawa lebih daripada 7,600 orang meninggal dunia akibat kemalangan di tempat kerja atau disebabkan penyakit yang berkaitan dengan pekerjaan setiap hari. Secara keseluruhan, hampir 2.8 juta orang mati akibat kemalangan dan penyakit pekerjaan setiap tahun,” katanya.

Lee berkata pelaksanaan sistem pengurusan KKP akan membawa banyak faedah bukan sahaja kepada organisasi tetapi juga kepada pekerja dan masyarakat setempat.

“Ia juga akan membantu melindungi alam sekitar dalam usaha kita untuk membangunkan negara,” katanya.

Dengan sistem pengurusan KKP yang baik, beliau berkata organisasi yang terlibat boleh memantau, menilai dan meningkatkan aspek pengurusan KKP menerusi pendekatan yang lebih sistematik dan cekap.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia), beliau berkata 1,137 organisasi telah memperoleh pensijilan MS 1722 dan OHSAS 18001 untuk sistem pengurusan OSH.

Beliau berkata NCSB, yang merupakan anak syarikat milik penuh NIOSH, juga menyediakan perkhidmatan pengauditan dan pensijilan untuk Sistem Pengurusan OSH (MS 1722 dan OHSAS 18001) dan Sistem Pengurusan Alam Sekitar (ISO 14001), Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001), Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan (ISO 22000) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Lebih 100 wakil dari pelbagai industry di Miri menghadiri seminar ISO 45001 yang telah diadakan di sebuah hotel di sini.