Aktivis Lee Lam Thye adakan sesi tandatangani buku ‘Call Lee Lam Thye-Recalling a Lifetime of Service’ di Kuching

Lee (duduk kiri) menyerahkan buku 'Call Lee Lam Thye-Recalling a Lifetime of Service' kepada salah seorang pembeli di Kuching.

KUCHING, 2 Ogos: Aktivis Tan Sri Lee Lam Thye hari ini mengadakan sesi menandatangani buku biografi ‘Call Lee Lam Thye-Recalling a Lifetime of Service’ di Lobi Tun Jugah Mall di sini.

Buku yang ditulis Sofea Chok Suat Ling dan P Selvarani menceritakan pengalaman Lee sepanjang berkhidmat sebagai penjawat awam, selain menyertai pelbagai organisasi.

“Buku ini siap dalam tempoh lebih lima tahun dan menceritakan kehidupan peribadi sepanjang 53 tahun menceburi bidang politik dan aktiviti sosial.


“Kerjaya politik saya berakhir pada 1990 tetapi tanggungjawab dan komitmen kepada masyarakat dan negara masih berjalan,” katanya ketika ditemui selesai sesi.

Berusia 76 tahun, Lam Thye pernah menjadi wakil rakyat Bukit Nenas dan Serdang, selain menjadi Ahli Parlimen Bukit Bintang antara 1978 hingga 1990.

Beliau pernah aktif dalam arena politik bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP) sekitar tahun 60-an hinggalah persaraannya pada tahun 1990.

“Saya berkhidmat untuk rakyat dalam 2 fasa iaitu melalui politik selama 23 tahun di mana saya menjadi ahli dewan undangan negeri dan ahli parlimen.

“Fasa kedua pula ialah apabila saya membuat keputusan mengundur diri dari arena politik, dan terus berkhidmat kepada rakyat dan negara sebagai pemimpin di dalam badan bukan kerajaan (NGO).

“Paling penting ialah sungguhpun telah meninggalkan arena politik, saya tidak meninggalkan rakyat dan negara,” kata Lee.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa hasil jualan buku tersebut nanti akan disalurkan kepada badan amal.

Buku setebal 312 muka surat dihasilkan dalam bahasa Inggeris dan Mandrin yang dijual di kedai buku atau dalam talian dengan harga antara RM50 hingga RM70. — DayakDaily