IPG Kampus Sarawak wakili Malaysia ke WRO Dortmund Jerman pada November ini

Pasukan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak Future Engineer Challenge. Foto: Ukas
Advertisement

KUCHING, 5 Okt: Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak telah berjaya menjuarai keseluruhan kategori Future Engineer Challenge (FEC) dalam Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan anjuran IPG Kampus Sultan Mizan, Besut Terengganu baru-baru ini.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), kejayaan ini membolehkan IPG Kampus Sarawak mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat antarabangsa World Robotics Olympiad (WRO) di Dortmund, Jerman pada 17 hingga 19 November nanti.

Pada pertandingan itu IPG Kampus Samarahan telah menghantar dua kumpulan bagi kategori tertutup FEC (bawah 19 tahun) dan satu kumpulan bagi kategori terbuka FEC (20 tahun ke atas).

Advertisement

Keputusan pertandingan menyaksikan IPG Kampus Sarawak telah berjaya mengungguli kategori tertutup bawah 19 tahun dengan mencapai johan dan naib johan.

Manakala, bagi kategori terbuka pula, IPG Kampus Sarawak telah berjaya merangkul johan.

Sebanyak 27 IPG dari seluruh Malaysia melibatkan 44 buah pasukan bagi kategori FEC telah menyertai pertandingan ini yang diadakan di Dewan Bendahara, IPG Kampus Sultan Mizan di Besut, Terengganu dari 27 hingga 29 September 2022. — DayakDaily

Advertisement