Tiada cubaan culik di Simunjan, namun siasatan polis masih dijalankan

Royal Malaysia Police logo

SIMUNJAN, 4 Okt: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan mendapati tiada berlaku kes cubaan culik membabitkan seorang murid di sebuah sekolah rendah, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Simunjan ACP Honchin Ludu berkata, satu laporan berhubung kejadian diterima dari seorang wanita yang mendakwa berlakunya cubaan culik di sekolah berkenaan.

Katanya, laporan tersebut mendakwa seorang kanak-kanak berusia 9 tahun cuba diculik oleh seorang lelaki dan seorang perempuan yang tidak dikenali.


Jelasnya, hasil siasatan terperinci mendapati kejadian berlaku di luar kawasan sekolah iaitu selepas waktu persekolahan yang mana ketika itu kawasan berkenaan dipenuhi dengan kenderaan ibu bapa.

“Pihak polis telah mengambil tindakan sewajarnya dengan mengenal pasti saksi-saksi penting melibatkan beberapa individu termasuk pengadu, mangsa, rakan mangsa, pengawal keselamatan sekolah dan penduduk sekitar.

“Kesemua saksi mengesahkan tiada perlakuan kejadian sebagaimana dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mengugat ketenteraman awam.

“Pihak IPD Simunjan menasihati orang ramai agar memaklumkan dengan segera jika terdapat sebarang maklumat atau individu yang mencurigakan diluar kawasan sekolah atau kawasan kejiranan,” katanya.

Ujarnya, maklumat boleh terus disalurkan ke IPD Simunjan di talian 082-803794.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras ke atas mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu dan tidak benar yang boleh mengugatkan ketenteraman awam di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tegasnya. — DayakDaily