IPD Kuching tumpaskan sindiket ‘Ah Lai’, pemberi pinjam wang tidak berlesen

Ahsmon (tengah) menunjukkan banting yang dirampas dalam operasi tersebut.

KUCHING, 15 Julai: Seramai 14 ahli sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen (Ah Long) dikenali sebagai ‘Ah Lai’ ditangkap dalam operasi Op Venture Khas sejak 1 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata dua daripada suspek adalah ketua sindiket dan 12 lagi adalah pekerja mereka berusia lingkungan 21 hingga 48 tahun.

Katanya, tangkapan dibuat dalam enam serbuan berasingan termasuk rumah kediaman dan kedai dalam operasi tersebut yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kuching ASP Marchel Ireneus Mustari.


“Siasatan awal mendapati operasi sindiket ini bermula tahun 2016 yang sehingga hari ini mempunyai seramai lebih kurang 500 pelanggan di mana jumlah keseluruhan pinjaman melibatkan anggaran sebanyak RM1.1 juta.

“Modus operandi sindiket ini menggunakan kaedah mempromosikan pinjaman melalui media sosial, meletakkan kad di kenderaan, mengantung banting di tiang lampu serta melalui rakan kenalan mereka,” katanya dalam sidang media berhubung kejayaan tersebut, hari ini.

Sindiket tersebut juga aktif menjalankan kegiatan mereka di kawasan Kota Samarahan dan Bau.

Jelasnya juga, sindiket tersebut turut dikatakan cuba mengaburi kegiatan haram mereka dengan perniagaan perabot dan barang elektrik.

“Mereka sangat licik, dia menjalankan pinjaman wang tanpa lesen tetapi mengaburi operasi mereka dengan rekod kutipan wang dengan menumpangkan kepada kedai-kedai perabot dan elektrik.

“Kita telah kesan kedai-kedai ini dan kita akan siasat dan cadang untuk diambil tindakan sewajarnya,” tegas beliau.

Kesemua suspek yang ditangkap disiasat di bawah kesalahan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1961.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam operasi tersebut, pasukan operasi turut merampas 13 unit telefon bimbit, kad bank, dokumen-dokumen pinjaman pelanggan dan banting.

“Sekiranya orang awam mempunyai maklumat berkaitan kegiayam Ah Long, boleh terus menyalurkan maklumat kepada Balai Polis berhampiran atau Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kuching,” kata Ahsmon. ā€” DayakDaily