Sebuah bot pemancing dikhuatiri karam, 10 orang masih hilang

Anggota operasi membuat perbincangan di Pangkalan Hadapan Carialamat.

KUCHING, 2 Okt: Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching telah mengaktifkan ‘Operasi CARILAMAT’ selepas sebuah bot yang membawa 10 pemancing dikhuatiri karam di perairan Pulau Satang.

Bot tersebut dikhuatiri karam pada jarak lebih kurang 2 batu nautika pada jam 12.22 tengahari tadi.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata MRSC Kuching telah menerima laporan menerusi panggilan MERS 999 daripada seorang pengadu mengenai kejadian bot karam itu.


“Bot Penyelamat 8 yang sedang beroperasi di sekitar perairan Santubong telah diatur gerak ke lokasi kejadian yang berada 11 batu nautika dari Pulau Satang Besar.

“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Awam Telaga Air dan MRSC Kuching telah turut memaklumkan insiden kejadian kepada agensi sahabat serta turut menyalurkan maklumat kepada Ketua Kaum di Kampung Telaga Air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keadaan laut dan cuaca di lokasi kejadian pada hari ini sedikit bergelora dengan kelajuan angin 20 hingga 30 km/jam dan ketinggian ombak 1.5 hingga 2.0 meter.

“Sektor pencarian pada hari ini memfokuskan pencarian 2 batu nautika sehingga 20 batu nautika dari perairan Pulau Satang,” katanya.

Op Carilamat telah ditangguhkan pada jam 6.30 petang setelah tiada sebarang petunjuk ditemui dan akan diteruskan semula pada jam 7.00 pagi esok.

MRSC Kuching telah mengkoordinasikan Op Carilamat bersama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar batalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk.

“Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laututamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik,” katanya.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam. – DayakDaily.