5 syarikat dihukum denda gagal bayar gaji minimum

Awang Raduan Awang Omar

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 29 Nov: Lima buah Syarikat dijatuhi hukuman denda oleh tiga mahkamah berlainan sepanjang bulan November ini selepas didapati bersalah kerana gagal membayar gaji minimum kepada perkerja mereka.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak Awang Raduan Awang Omar berkata hukuman tersebut dijatuhkan kepada lima syarikat dengan dua syarikat di Mahkamah Kuching, dua syarikat di Sibu, manakala satu syarikat lagi oleh Mahkamah Bintulu.

“Bagi kes di Sibu, salah sebuah syarikat tersebut didenda RM3,800 atau penjara sebulan dan sebuah lagi syarikat dijatuhkan hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara.

“Prosiding yang dijalankan di Mahkamah Majistret Kuching pula menjatuhkan hukuman denda kepada sebuah syarikat dengan jumlah RM9,000.00 keseluruhan denda dan menjelaskan tunggakan gaji sejumlah RM5,413.92 kepada pekerja yang telah membuat tuntutan kes buruh,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi prosiding di Bintulu, Majistret Zuraini Ali Musa menjatuhkan hukuman denda RM10,000 selain mengarahkan syarikat terlibat melangsaikan tunggakkan gaji berjumlah RM6,780.90 kepada sembilan orang pekerja syarikat terbabit.

Satu lagi prosiding di Mahkamah Kuching pada 19 November lalu menyaksikan seorang majikan dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau lima bulan penjara selepas didapati gagal mematuhi Perintah Borang C Mahkamah Buruh iaitu bayaran baki gaji yang dituntut oleh pengadu kes buruh.

Awang Raduan berkata, kelima-lima pendakwaan tersebut merupakan satu peringatan dan pengajaran kepada majikan khususnya di sektor swasta yang cuba ingkar terhadap Perintah Gaji Minimum dan undang-undang perburuhan di Sarawak. – DayakDaily.