Ikat dan rompak, rumah lima sekeluarga disamun penjenayah bersenjatakan parang

Besi tingkap yang dipotong penjenayah sebelum merompak lima sekeluarga.

– oleh Dean Adam

SERIAN, Okt 11: Diikat tangan sebelum dirompak. Begitulah situasi cemas yang dihadapi lima sekeluarga selepas kediaman mereka dirompak tiga penjenayah bersenjatakan parang, pagi tadi.

Kejadian pada pukul 4.10 pagi itu juga mengakibatkan keluarga terbabit kehilangan sebuah kereta Perodua Myvi, wang tunai RM400, empat unit telefon bimbit, dua tabung duit siling serta kad pengenalan dan lesen memandu mangsa.


Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, bagaimanapun kereta milik mangsa berjaya ditemui oleh pasukan polis pada pukul 10 pagi tadi.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek pula masih giat dikesan oleh pihak polis susulan laporan yang diterima daripada mangsa tersebut.

“Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga perompak berkenaan telah memasuki kediaman mangsa selepas memotong besi tingkap dapur rumah tersebut.

“Malah, semasa kejadian kesemua mangsa dikatakan masih tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran penjenayah terbabit.

“Ahli keluarga tersebut iaitu pasangan suami isteri dan tiga anak mereka kemudian diikat perompak dengan menggunakan kabel wayar, besi penyidai baju dan tuala mandi,” katanya di sini hari ini.

Kereta Perodua Myvi milik mangsa yang ditemui semula oleh polis.

Aswandy menambah, selepas mengikat kesemua ahli keluarga berkenaan, kumpulan perompak berkenaan kemudian bertindak menggeladah rumah mangsa sebelum melarikan diri.

Katanya, pihak polis juga memohon kerjasama maklumat awam sekiranya mereka melihat kelibat tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan untuk tindakan segera.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata,” jelasnya lagi. — DayakDaily