Suri rumah dan lelaki warga emas mangsa terbaharu ‘Macau scam’ di Sarawak

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

– oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 11: Lagi mangsa ditipu sindiket ‘Macau scam’ di Sarawak.

Terbaharu melibatkan dua individu iaitu seorang suri rumah dan lelaki yang kerugian wang berjumlah RM60,996.68, semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, suri rumah berusia 66 tahun itu kerugian sebanyak RM40,000.

Jelasnya, sebelum itu, mangsa telah menerima panggilan telefon dari nombor +60326980282 yang menyamar sebagai Sabrisa dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Suspek kemudian bertanya sama ada mangsa mengenali Tan Siew Moi yang dikatakan telah mengambil pil tidur dan dimasukan ke Hospital Kuala Lumpur.

“Mangsa kemudiannya dikatakan terlibat dengan kes tersebut dan nombor akaun mangsa digunakan untuk kegiatan dadah. Suspek seterusnya memberitahu kes mangsa dirujuk dengan Sarjan Lim Ceik Loong dari Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, dalam perbualan itu, mangsa kemudiannya ditakutkan dan diugut akan ditahan jika tidak memberi kerjasama.

“Mangsa akhirnya akur mengikut arahan suspek dengan memasukan wang sebanyak RM40,000 dalam akaun bank sindiket ‘Macau scam’ itu,” katanya.

Sementara itu katanya, kes kedua pula melibatkan seorang lelaki berusia 65 tahun yang bekerja sendiri yang mengalami kerugian sebanyak RM20,996.68.

Ujarnya, sebelum itu, mangsa telah menerima satu panggilan dari seorang lelaki yang bernama Lim Kei Chen dari bahagian hospital (0322628400) telah memberitahu mangsa bahawa kad pengenalan mangsa telah disalahgunakan oleh individu lain untuk mengambil sejenis ubat.

“Kemudian, suspek terbabit mengarahkan mangsa ke bank dan suspek telah memberi beberapa nombor untuk mangsa tekan di mesin juruwang automatik (ATM).

“Selepas itu, mangsa mendapati duit dalam akaunnya sebanyak RM20,996.68 telah dipindahkan ke dalam akaun bank lain dan mengakibatkan mangsa mengalami kerugian,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafa mengingatkan supaya masyarakat umum supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan daripada individu yang tidak dikenali.

“Letak sahaja panggilan telefon suspek kes ‘Macau scam’ ini cegah lebih baik dan tidak perlu tanggung apa-apa risiko lain, hilang wang dan data-data peribadi terdedah.

“Betapa mudah mereka menipu melalui telefon, lebih mudah lagi hendak mengelak dari menjadi mangsa, iaitu letak atau tamatkan sahaja panggilan mereka,” katanya. — DayakDaily