PGA Sibu dan SFC bongkar operasi proses balak haram

Pasukan serbuan memeriksa kayu balak yang dirampas.

SIBU, Okt 11: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya membongkar sindiket memproses kayu balak haram menerusi Op Libas, kelmarin.

Kejayaan serbuan menerusi operasi khas kira-kira pukul 11 malam tersebut berjaya merampas 45 kayu balak haram pelbagai saiz dan spesies yang dilonggokkan di belakang sebuah kilang memproses kayu di situ.

Penolong Pegawai Pemerintah PGA Sibu, DSP Frediel Nyambong berkata, sebelum itu, pasukan serbuan telah bertindak menahan dua buah lori yang membawa muatan kayu balak.

Katanya, anggota serbuan kemudian meminta kedua-dua pemandu lori tersebut untuk menunjukkan dokumen muatan kayu balak dibawa.

“Bagaimanapun, kedua pemandu berkenaan gagal menunjukkan dokumen sah daripada pihak berkuasa sebelum mereka ditahan untuk membantu siasatan.

“Kesemua kayu balak dan lori tersebut turut disita bagi tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.

Frediel menambah, pasukan serbuan juga menyita sebuah jentolak yang dipercayai digunakan pemilik kilang berkenaan untuk melakukan kerja-kerja haram.

Katanya, anggaran keseluruhan rampasan kayu balak serta jentolak tersebut ialah sebanyak RM350,000.

“Siasatan juga mendapati kesemua kayu balak tersebut tiada memiliki cop sah dari Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

“Kes tersebut disiasat mengikut Ordinan Hutan 2015 dan jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori dan denda bagi setiap kesalahan,” katanya lagi. — DayakDaily