Idris: Wanita PKR cuba tumpang populariti atas bayaran Petronas

Dato Idris Buang

KUCHING, 22 Sept: Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang anggap Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak cuba menumpang populariti atas kejayaan kerajaan negeri memperolehi bayaran Cukai Jualan (SST) dari Petronas.

Menurut Idris, PKR mungkin sudah lupa iaitu sewaktu Pakatan Harapan (PH) berkuasa peruntukkan yang telah diluluskan kepada Sarawak oleh kerajaan terdahulu tidak diteruskan.

“Malah, PH mengenakan syarat agar kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat pembayaran pendahuluan sekiranya hendak meneruskan program baik pulih sekolah kategori daif yang menjadi tanggungjawab kerajaan pusat.


“Sarawak sudah dahulukan RM1 bilion untuk tujuan itu,” tegas beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Idris mengulas kenyataan Timbalan Wanita PKR Zulhaidah Suboh yang menuntut Sarawak memanfaatkan hasil kutipan cukai daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menyelesaikan masalah sekolah daif.

Tambah Idris lagi, semasa merintah PH tidak mahu Petronas mengiktiraf tuntutan bayaran SST malah telah mencabar kerajaan Sarawak di mahkamah.

Katanya, hasil muafakah dan kerjasama baik di antara Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya SST untuk tahun 2019 sejumlah RM2.9 bilion telah dibayar Petronas.

“Ini terhasil dari inisiatif ketua menteri dan usaha gigih beliau dan pasukan Abang Johari GPS,” ujarnya.

Justeru, Idris menggesa Zulhaidah untuk menyemak faktanya semula dan bercakap dengan adil. — DayakDaily