Idris dan Lo akhirnya bertembung di forum

Lo (kiri) membentangkan pendapat beliau semasa forum. Turut kelihatan Idris (tengah) dan Tang.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 27 April: Forum “Belia dan Pekerjaan di Sarawak: Peluang atau Cabaran” yang sepatutnya diadakan pada bulan Mac lepas akhirnya menjadi kenyataan malam ini.

Lebih 100 orang hadir menyaksikan pertembungan antara Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang dengan Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak Andrew Lo.


Forum dianjurkan pihak Rise of Sarawak Efforts (ROSE) dan diadakan di pusat beli-belah The Summer di sini.

Berlangsung dalam suasana yang harmoni, Idris yang juga ADUN Muara Tuang membangkitkan perkara yang telah dibawa oleh kerajaan terdahulu dan kini Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Idris (kiri) dan Lo sempat berbincang sebelum bermulanya forum.

“Kerajaan Negeri sentiasa mewujudkan peluang-peluang pekerjaan khasnya di Samajaya, Samalaju, kawasan SCORE, Mukah, Tanjung Manis hingga ke utara Sarawak.

“Pelbagai usaha juga telah dibuat agensi kerajaan yang lain seperti Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dan Sarawak Workforce Information System (SWIS) dalam menghebahkan dan memberi peluang perkerjaan di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, semua peluang peluang tersebut adalah untuk membantu rakyat terutamanya para lepasan universiti dan sekolah di negeri ini.

Menurut Idris, setiap tahun, lepasan SPM sahaja lebih kurang 4,000 hingga 5,000 yang tercicir.

“Kalau lima tahun, angka ini mencecah 25,000 dan kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengambil berat permasalahan ini.

“SWIS ditubuhkan supaya mereka dapat diberi tunjuk ajar dan menjadi orang yang berguna. Kita sediakan program untuk membentuk mereka menjadi tenaga kerja mahir,” kata Idris.

Antara yang hadir menyaksikan pertembungan Idris dan Lo.

Dalam pada itu, Lo membangkitkan isu dimana Sarawak sekarang berada dalam keadaan menurun walaupun mencatat kadar GDP ketiga tertinggi di Malaysia.

Dari segi purata gaji katanya negeri ini berada di kedudukan ketiga paling bawah dibandingkan negeri lain dan rayat negeri ini menerima gaji purata RM1,350 sebulan.

“Lapan puluh peratus pekerjaan di ladang dan industri perkayuan hanya dibayar gaji minima dan 86 peratus keluarga memperolehi gaji kurang dari RM5,000 sebulan,” katanya.

Oleh itu Lo menggesa kerajaan menubuhkan kementerian sumber manusia di peringkat negeri untuk memantau isu berkaitan pekerjaan.

Tambah beliau produktiviti mesti dikukuhkan dan gaji rendah untuk para pekerja bukanlah satu pilihan yang tepat.

Kerajaan katanya perlu melabur dalam latihan kemahiran dan inovasi khas untuk pekerja dan kemahiran berbahasa Inggeris harus diutamakan.

“Beri penekanan kepada sektor perkhidmatan, pelancongan dan ekonomi digital dan tinggalkan industri senja,” tegas Lo.

Forum dikendalikan moderator Geoffrey Tang. — DayakDaily