Ibu bapa, pelajar diminta hubungi wakil kerajaan Sarawak sebelum balik ke Limbang

Pelajar-pelajar dari IPT Labuan kembali ke Limbang baru-baru ini. - Ukas pic.

KUCHING, 10 Mei: Ibu bapa dan pelajar-pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan pusat pengajian tahfiz yang ingin balik ke Limbang diminta menghubungi wakil-wakil kerajaan negeri Sarawak.

Residen Bahagian Limbang, Ahmad Denney Fauzi, berkata ini bertujuan untuk mendaftar dan memastikan pihaknya dapat menyediakan tempat kuarantin secukupnya bagi memastikan proses itu berjalan lancar.

“Pelajar yang bercadang untuk kembali ke rumah masing-masing dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ini perlu memaklumkan segera kepada wakil-wakil kerajaan negeri seperti Rumah Sarawak, Sarawak Volunteer, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mahupun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang.


“Dapatkan maklumat dari agensi-agensi ini di dalam mengurus perjalanan balik pelajar-pelajar ke Bahagian Limbang,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang hari ini.

Pada 26 April lepas, seramai 47 orang pelajar dari pelbagai IPT di Labuan telah kembali ke Limbang, di mana mereka ditempatkan pusat survelan Purnama Hotel, Limbang.

Seramai 184 orang pelajar telah dikenal pasti terdiri daripada pelajar-pelajar IPTA/IPTS dan pusat tahfiz dari luar Sarawak seperti Semenanjung Malaysia, Sabah, Labuan dan dalam negeri kembali ke Bahagian Limbang secara berperingkat.

Dalam pada itu, pengarah Hospital Limbang Dr Nantha Kumar berkata ada beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dan keutamaan diberikan di dalam menangani ketibaan Person Under Surveillance (PUS).

“Penambahbaikan itu termasuklah memperketatkan beberapa prosedur operasi standard orang awam dan pelajar-pelajar yang tiba dari Semenanjung Malaysia yang memasuki Limbang dan Lawas ke pusat survelan di Limbang dan Lawas semasa PKPB, demi keselamatan PUS yang akan mendiami bilik-bilik di pusat survelan tersebut,” katanya.

Pada mesyuarat itu, Hospital Limbang menerima sumbangan 50 keping pelindung muka menggunakan teknologi cetakan 3D dari Kelab Guru Seni Bintulu (KGSB). — DayakDaily