Jamery kempunan bantu negara selepas Sukan Para Asean Filipina dibatalkan

Jamery Siga tetap fokus untuk menghadapi kejohanan lain selepas Sukan Para Asean Filipina dibatalkan.

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 10 Mei: Pembatalan Sukan Para Asean Ke-10 Filipina, susulan penularan wabak Covid-19 keputusan yang telah dijangka ramai pihak.

Paling kecewa dengan keputusan berkenaan pastinya atlet orang kelainan upaya (OKU) kebangsaan yang telah bertungkus lumus membuat persediaan gigih sejak tahun lepas untuk menghadapinya.


Bagi atlet renang kebangsaan dari Sarawak, Jamery Siga (S5), beliau terpaksa melupakan hasrat untuk sekali lagi membantu kem negara.

“Apa boleh buat, impian saya untuk menyumbang pingat kepada negara di temasya itu hanya tinggal angan-angan apabila ianya sah dibatalkan.

“Namun, kita terpaksa menerima keputusan itu berikutan kebimbangan masyarakat dunia ekoran penularan wabak Covid-19 yang melanda ketika ini,” ujar perenang berusia 35 tahun dari Kampung Kuala Mendalam, Ulu Medamit, Limbang itu hari ini.

Pemenang pingat emas Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 itu merupakan taruhan utama negara dalam temasya berkenaan apabila turun dalam tiga acara kegemarannya, 50 meter gaya bebas, 50 meter kupu-kupu dan 100 meter gaya bebas.

Sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, Jamery telah kembali ke kampung halamannya selepas semua latihannya terhenti.

Beliau menjalani latihan di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Ditanya perancangan seterusnya, Jamery berkata beliau akan terus memantapkan latihannya selepas PKP berakhir sebagai persiapan untuk menghadapi kejohanan dunia lain.

“Pembatalan Sukan Para Asean tidak akan mematahkan semangat saya. Saya perlu mengekalkan fokus kerana ada beberapa lagi kejohanan dunia lain yang akan berlangsung selepas ini.

“Apa yang penting, saya perlu bersabar menanti bila sesi latihan bersambung semula,” tambah beliau.

Ayah kepada seorang anak lelaki itu berkata fokus beliau kini terhala kepada persiapan untuk menghadapi temasya terulung, Sukan Paralimpik Tokyo yang juga telah ditangguhkan. — DayakDaily