PKPB disambung sehingga 9 Jun 2020

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 Mei: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) disambung empat minggu lagi sehingga 9 Jun.

Pada Perutusan Khas sebentar tadi, beliau berkata keputusan dibuat setelah mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.


“Ini bermakna semua peraturan dan prosedur operasi standard yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun, 2020.

“Sebarang perubahan mengenai peraturan SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya.

Menurut Muhyiddin lagi, usaha memerangi wabak Covid-19 masih belum berjaya sepenuhnya walaupun telah mencapai banyak perkembangan positif.

Dari segi pandangan umum katanya, rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini.

“Hasil daripada usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh para petugas barisan hadapan dan disiplin saudara-saudari sepanjang tempoh PKP dan PKPB dilaksanakan, kita telah berjaya menjadikan hampir seluruh mukim atau zon di negara kita berstatus hijau.

“Kawasan-kawasan ini tidak mencatatkan sebarang kes positif Covid-19
baharu dalam tempoh dua minggu yang lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata daripada 1,178 mukim, bahagian, zon, sub-zon dan presint di seluruh negara, sebanyak 1,112 atau 94.4 peratus telah dikategorikan sebagai hijau.

Manakala 62 atau 5.2 peratus dikategorikan sebagai kuning dan hanya 4 atau 0.34 peratus yang masih berstatus merah.

“Yang dimaksudkan dengan status merah ialah kawasan-kawasan yang mencatatkan lebih 40 kes positif Covid-19.

“Terdapat 4 kawasan setakat ini yang masih berstatus merah iaitu mukim Batu, Gombak, Selangor, zon Batu, mukim Batu, Kuala Lumpur, zon Kampung Baharu, mukim Bandar, Kuala Lumpur dan mukim Pedas, daerah Rembau, Negeri Sembilan,” ujar beliau.

Setakat ini (9 Mei), Malaysia mencatatkan 6,589 kes Covid-19, dengan 108 angka kematian.

Sementara itu, 78 peratus daripada pesakit telah pulih, iaitu seramai 4,929 orang manakala seramai 1,552 pesakit masih lagi dalam rawatan.

Malaysia melaksanakan PKP bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan mengumumkan PKPB pada 4 Mei lepas. — DayakDaily