Hutan tanam semula sumber industri perkayuan Sarawak

Awang Tengah (tiga kanan) di Majlis berbuka puasa anjuran Pusaka.

KUCHING, 5 April: Sumber bagi industri kayu Sarawak kini tertumpu kepada hutan tanam semula yang melibatkan pokok akasia dan kelampayan termasuk pokok buluh.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, ini berikutan sumber dari hutan semulajadi kini sudah berkurangan.

“Pokok kelampayan dan akasia ini matang dalam tempoh 7 tahun hingga 10 tahun.

“Justeru industri perkayuan hendaklah mengubah pendekatan selain menggunakan teknologi baharu kerana sumber datang dari hutan tanam semula, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Perbadanan Kemajuan Kayu Sarawak (Pusaka) di sebuah hotel di sini malam tadi.

Tambah Awang Tengah yang juga Pengerusi Pusaka, keluasan kawasan tanam semula kini sudah mencecah 560, 000 hektar.

Dalam pada itu beliau memaklumkan bahawa nilai eksport kayu dan produk berasaskan kayu bagi suku pertama 2023 adalah RM1 bilion dan produk eksport utama adalah plywood.

“Pasaran kita adalah Korea, Jepun, Vietnam, Filipina, Australia, Eropah dan juga Amerika,” katanya. — DayakDaily