Bincang dengan subjek sebelum setuju sertai ujian klinikal Vaksin Covid-19

Dr Chin Zin Hing (file pic)

KUCHING, 7 Jan: Spefikasi ujian Klinikal vaksin Covid-19 akan dibincangkan terlebih dahulu bersama dengan subjek sebelum individu tersebut bersetuju untuk mengambil bahagian dalam ujian terbabit.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Chin Zin Hing berkata, hanya selepas perbincangan dan atas persetujuan individu terlibat barulah ia secara rasmi dapat dimasukkan dalam percubaan klinikal tersebut.

“Dalam percubaan ini, subjek akan mendapat 50 peratus peluang untuk disuntik dengan vaksin, sementara 50 peratus lagi kemungkinan untuk disuntik dengan plasebo,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata Ujian klinikal terbabit adalah satu proses penting dan asas dalam perkembangan rawatan perubatan baharu, termasuklah vaksin Covid-19.

Katanya, Hospital Umum Sarawak (HUS) merupakan salah satu daripada sembilan pusat penyelidikan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) yang dipilih untuk menjalankan ujian klinikal bertaraf antarabangsa itu.

Ini kerana HUS sememangnya diketahui umum dengan perkhidmatan klinikalnya, latihan kepada profesional kesihatan dan juga sebagai tempat untuk ujian klinikal yang berkelas dunia selain turut mempunyai sebuah pusat khusus untuk penyelidikan klinikal (CRC).

Dr. Chin berkata, Malaysia merupakan salah satu negara yang dipilih Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS) untuk bekerjasama dengan mereka dalam bidang sains perubatan semasa wabak ini yang membabitkan 3,000 subjek bagi ujian klinikal terbabit.

“Protokol kajian telah diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika Penyelidikan Perubatan (MREC), KKM dan akan dijalankan mengikut standard berkelas dunia,” katanya. — DayakDaily