Hujan lebat tidak menjadi halangan untuk menunjukkan semangat patriotik

Peserta-peserta mengambil tempat sebelum permulaan program Kayuhan Basikal Malam sempena Hari Malaysia 2020.

KUCHING, 15 Sept: Hujan lebat menduga semangat 120 peserta kayuhan basikal malam sempena sambutan Hari Malaysia dengan menahan kesejukan tadi.

Walaupun berkayuh dalam suasana hujan lebat, atas semangat patriotik, peminat-peminat sukan berbasikal tetap berkayuh secara santai dan ini telah meninggalkan pengalaman amat menggembirakan.

Bermula di Kompleks Belia dan Sukan Sarawak, peserta-peserta terlibat mengelilingi kawasan sekitar daerah Kuching melalui Muzium Sarawak, Kuching Waterfront dan Taman Budaya Sarawak.


Menurut pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak (JBSBS) Azura Sarbin, pembudayaan gaya hidup cergas dan cerdas merupakan elemen penting dalam kehidupan seharian.

“Sebagai contoh, aktiviti berbasikal sememangnya sinonim dan ‘trend’ masa kini. JBSBS dengan kerjasama Kelab Rekreasi Anak Kenyalang mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini sempena Hari Malaysia 16 September bagi menarik minat golongan muda yang menjadi sasaran utama supaya dapat bersama-sama menyertai program selain dapat menunjukkan semangat patriotik mereka dan melakukan aktiviti menyihatkan dan berfaedah,” kata Azura.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak turut menyertai Kayuhan Basikal Malam sempena Hari Malaysia 2020.

Program ini juga adalah dengan kerjasama dari agensi kerajaan dan NGO seperti Jabatan Penerangan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Unit Komunikasi Korporat Sarawak, Hospital Umum Sarawak, Kuching Cyclist dan Persatuan Berbasikal Sarawak.

Selain kibaran Jalur Gemilang, peserta turut berpakaian bercirikan warna yang terdapat pada bendera Malaysia.

Menurut Azura, mesej kempen ini termasuk kawalan kendiri, pematuhan SOP perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), Pembudayaan Norma Baharu, mengimbas aplikasi MySejahtera dan mengamalkan penjarakan fizikal satu meter kerana Malaysia masih terdedah kepada risiko jangkitan wabak Covid-19.

“Adalah diharapkan program ini dapat memberi kesedaran akan kepentingan pembudayaan sukan di kalangan mereka selain memastikan segenap lapisan masyarakat faham akan tanggungjawab baharu iaitu berperanan sebagai petugas barisan hadapan dalam komuniti bagi mengekang penularan Covid-19 selain menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia,” tambah beliau. — DayakDaily