Tangani segera kesesakan Jalan TT3 SOHO


Oleh Kadir Edison

KUCHING, 10 Okt: Kesesakan lalu lintas yang kerap sememangnya masalah yang biasa pada masa kini, tambah pula jumlah kenderaan yang semakin meningkat di jalan raya saban hari.


Namun itu, aspek keselamatan pengguna yang menjadikan kawasan terlibat sebagai laluan utama mereka sama ada untuk pergerakan seharian atau ke tempat kerja tidak harus diabaikan.

Umum mengetahui Kota Samarahan ialah kawasan hangat  bagi masalah kesesakan jalan raya terutamanya ketika waktu puncak yang kebiasaanya bermula seawal pukul 6.00 pagi bagi laluan menuju ke bandaraya Kuching dan pada waktu tamat berkerja pada 5.00 petang menuju ke Kota Samarahan.

Kawasan persimpangan Jalan TT3 SOHO dekat Tabuan Tranquality di sini tidak ketinggalan berhadapan dengan impak masalah itu memandangkan jalan tersebut antara jalan pintas menuju masuk dan keluar Kota Samarahan.

Ketiadaan lampu isyarat di persimpangan jalan TT3 di hadapan apartmen mewah The Park Resident menjadikan kawasan tersebut berbahaya kepada pengguna yang melalui jalan tersebut.

Pengguna jalan raya cuba untuk keluar dan masuk ke persimpangan Jalan TT3 SOHO berhadapan The Park Residence.

Situasi itu terjadi apabila pengguna dari bandaraya menuju ke arah Kota Samarahan dan sebaliknya mula menggunakan Jalan TT3 sebagai laluan jalan alternatif untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di jalan utama iaitu Jalan Canna dan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang Jalan TT3 terutamanya ketika waktu puncak.

Situasi itu diburukkan lagi ketika cuaca hujan dengan keadaan jalan raya yang licin menyebabkan lalulintas dihentikan.

Tinjauan DayakDaily di kawasan persimbangan Jalan TT3 SOHO berhadapan apartment The Park Resident mendapati kenderaan berebut untuk keluar dan masuk di persimpangan terbabit.

Tiadanya lampu isyarat atau anggota polis trafik bagi mengawal persimpangan tersebut menjadikan ia kawasan berisiko tinggi untuk berlaku kemalangan.

Ini kerana, kelancaran laluan keluar masuk kenderaan di simpang yang sesak  bergantung kepada kemahiran dan keberanian pemandu kenderaan mengambil risiko untuk bergerak dan ini menjadikan keselamatan pengguna jalan raya topik utama apabila terdapat pemandu atau pengguna jalan raya yang tidak sabar cuba untuk memotong barisan dan mengundang risiko kemalangan.

Justeru ini, diharapkan bahawa pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengambil tindakan sewajarnya seperti memasang lampu isyarat di persimpangan tersebut untuk mengurus dan melancarkan kesesakan lalu lintas demi menyelesaikan keadaan serta mengurangkan kadar risiko berlakunya kemalangan.
–DayakDaily.